Followers

Saturday, June 30, 2012

Kek Coklat 2

Assalamualaikum dan Salam sejahtera ...


Apa habaq semuaaa....?
Hari ni akak nak share resepi kek coklat lg...yg ni dah lama buat ..dah abisss pon.Bagi akak kek ni ada kesedapannya tersendiri , lembut dan gebu...Biasalah kalau Dayang Jack punya resepi mesti lembut dan gebuss gitu. 
Sepertimana yg kita semua tahu, kek coklat ni banyak version. Akak dah cuba macam2 ...maklumlah hantu coklat la katakan....Coklat juga adalah satu makanan/minuman yg bagus dan dapat menghilangkan stress . Sebenarnya coklat mengandungi bahan seperti ubat penenang yang mengeluarkan endorphins yang membuatkan kita rasa gembira dan menghilangkan rasa resah gelisah pada emosi kita. Pakar pemakanan pon mengesyorkan agar kita mengambil minuman coklat sebagai minuman sarapan . Ada org kata coklat ni menggemukkan ...tak jugak...sekiranya diambil secara tidak berlebihan  ia tidak akan menggemukkan malah menyihatkan lg tubuh badan.
Oleh itu jgn la takuttt2 nak makan coklat ya !!!
Kot2 rasa nak cuba, ini  resepi  ya:



Kek Coklat 2
Sumber Asal : Dayang jack
Dikongsi oleh : Kak Nita ~jommasak.blogspot.com

Bahan-bahan : loyang kecil (gandakan bahan2 utk loyang besar)
100 g tepung naik sendiri
 40 g serbuk koko (DJ guna koko hitam)
150 g gula pasir (dikisar halus) 
3 biji telur A
50 g marjerin / mentega (dicairkan) - DJ guna marjerin 
60 ml susu cair
1 sk esen vanilla
1 sk ovalette

Cara-cara :
  1. Ayak tepung bersama serbuk koko.
  2. Panaskan oven pd suhu 170C. Lengserkan loyang kek dgn mentega dan alaskan dgn baking paper. Sapukan lagi dgn mentega dan taburkan dgn sedikit tepung.
  3. Satukan gula, telur, esen vanilla, ovalette dan susu cair di dalam mangkuk pengadun dan putar hingga gebu.
  4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil diputar perlahan hingga sebati.
  5. Masukkan marjerin / mentega cair dan kacau perlahan dgn menggunakan senduk kayu atau spatula.
  6. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 20-25 minit (bergantung pd suhu oven masing2).
  7. Setelah masak, keluarkan terus kek dari oven dan sejukkan sebelum dihiaskan dgn ganache / topping kesukaan.


*** ganache yg dyg buat ni adalah ganache simple dan ikut mana2 stok yg ada dlm simpanan shj spt marjerin, susu cair, serbuk koko, dan gula.
*** kek ni sgt sedap dimakan setelah disimpan semalaman. Tutup kemas kek ni  dgn kertas foil atau simpan dlm bekas yg bertutup utk mengekalkan kelembapannya.






Monday, June 25, 2012

Kek Velvet Pelangi Kukus

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...


Minggu ni akak dah tiga kali buat kek , 2 kali buat coklat kek dan kali ke-3 yg ni la.....baru tadi akak buat ni..sebab esok nak gi jumpa anak sedara ...boleh bawa yg ni ...colourful , harap2 budak2  tu suka la...lg pon kek kukus ni lembut ,semua bahagian boleh makan.  Resepi ni akak dapat dr blog DJ , Terima kasih DJ ...banyak dah resepi DJ yg akak cuba...semua menjadi...cuma yg ni pelangi tipu sbb ada 3 warna...bukan tujuh ampunnnn ya! stok color akak very limited + kureng rajin okkkk...hahaha...
Anyway kek ni dah siap dipotong dan di pek utk dibawa kesana, insyaAllah... 
Kalu rasa nak buat tu , boleh refer kat sini ya...:

Kek Velvet Pelangi/Marble Kukus 
Sumber : Dayang Jack
Dikongsi oleh : Kak Nita ~jomknitamasak.blogspot.com 

Bahan-bahan : (DJ menggunakan loyang 9" x 4.5" x 4.5")
5 biji telur A (dari peti ais)
250 g tepung gandum + 1 sudu kecil baking powder (diayak sebanyak 3 kali)
150 ml susu cair
180g gula halus
2 sudu besar susu pekat manis
1 sudu besar ovalette
1/4 sudu kecil garam
125 ml minyak jagung
perisa dan pewarna :
coklat mocha/coffee flavor atau pes oren + pewarna oren
pes pandan / pandan emulco
pes bluberi + pewarna ungu
pes strawberi / strawberry emulco + pewarna pink
perisa esen vanilla

Cara-cara :
1. Sediakan pengukus dan jerangkan airnya. Loyang digriskan dengan mentega dan taburkan dengan sedikit tepung (boleh juga alaskan dengan kertas serap minyak).
2. Putarkan semua bahan di atas kecuali minyak dan perisa/pewarna hingga kembang dan gebu. Kemudian barulah dimasukkan minyak jagung sedikit demi sedikit dan dikacau sebati dengan senduk atau spatula.
3. Kemudian bahagikan adunan kepada 6 bahagian (disukat sama rata dengan cawan/bekas yang sama saiznya). 2 cawan dibiarkan kosong dan diberi sedikit esen vanilla. Selebihnya diwarnakan dan diberi perisa pandan, strawberi, bluberi, dan oren/coklat mocha/cofee (DJ menggunakan 1 sudu makan black cocoa + coffee flavor + 1 sudu makan air panas)
4. Kukus lapisan vanilla terlebih dahulu selama 7-10 minit. (gunakan api perlahan sahaja)
5. Kemudian tuangkan perlahan-lahan adunan berwarna secara berselang seli dan kukus lagi selama lebih kurang 15-20 minit atau hingga dah tak cair. Dan disudahi dengan lapisan vanilla. (loyang ditutup dengan kertas foil supaya air wap tak menitik ke dalam kek). Kukuslah hingga betul-betul masak keseluruhannya (lebih kurang 1/2 jam)
6. Bila sudah masak, sejukkan  kek terlebih dahulu sebelum dipotong


Akak buat loyang 9" -bulat


Saturday, June 23, 2012

Kek Coklat 1

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera



Minggu ni akak asyik meronda blog kengkawan aje...sampai blog sendiri tak sempat nak update...biasa la sibuk gituuu...Ok ,kek ni akak buat 2 hari lepas -saja rasa nak makan. Kalau nak diikutkan dlm koleksi resepi simpanan akak, resepi kek coklat lah yg paling banyak . Sebab tu lah akak nama kek ni Kek Coklat 1. Ini bermakna bahawa akan muncul lg N3 seterusnya kek coklat 2, 3 dan.....insyaAllah. Cuma masalahnya disini akak agak kabur sikit ,dimana akak amik resepi ni ...rasanya dr Majalah Wanita tapi keluaran bila akak tak ingat. Apa2 pon rasanya sangat ok bg akak ...
Kalu nak cuba jom kita tengok resepi ni..:






























Resepi : Kek Coklat 1
Sumber : Majalah Wanita
Dikongsi Oleh : Kak Nita ~jomknitamasak.blogspot.com

Bahan-bahannya
250gm butter
300g gula kastor ~ akak letak 200g
1sd makan  overlet
6 biji telur -akak letak 5 bj

Bahan Diayak
250g tepung gandum
2 sd teh baking powder
11/2 sd teh baking powder

*akak gantikan semua diatas dgn tepung naik
sendiri + 1/2 sd teh baking powder +1sd soda bikabonat

Paste
1cawan serbuk koko ~akak guna van houten
11/4 cawan air ~akak gantikan dgn susu cair
60g gula kastor
1 sudu makan serbuk nescafe

Topping
300g coklat masakan
200g whipping cream
1sudu kecil butter-akak gantikan dgn golden syrup.

Cara2nya
1. Pukul butter + gula+ overlet sampai kembang
2. Masukkan telur satu persatu.
3 masukkan bahan diayak dan paste berselang seli
4. Bakar dgn suhu 170`C dan selepas 1/2 jam turunkan suhu kpd 150`C .
5.Seperti biasa cucuk dgn lidi , kalu tak melekat ..dah masak la tu..
6. keluarkan dr tin pembakar ,sejukkan diatas redai.
7. Curahkan topping /ganache keatas kek.
8. Hiaskan dgn badam ,apa2 saja bg cun sikit. Jgn ikut  kat atas ni botak & licin aje......

Sunday, June 17, 2012

Kek Gulung

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...



Alhamdulillah ...akhirnya dapat gak rasa Kek Gulung yg dihasilkan oleh diri sendiri...hahaha....Walaupon tak sehebat mana tapi at least akak dah cuba.....bila dah cuba baru lah tau macamana ragamnya . Cthnya bila digulung nak patah la...kat permukaan ada sedikit bubble , tak licin la...tak pa pasni akak himpunkan semua soklan2 tu untuk diajukan kepada sahabat2 blog memasak kita nih...ramai yg pandai buat nih .
Resepinya akak salin dari blog Kak Wan ~ Terima kasih Kak Wan ya...akak mmg berkenan sangat dgn kek dan kuih muih Kak Wan. Bagi akak, Kak Wan  mmg kemas, halus dan kreative. Kalu ikut resepi Kak Wan ni , dia kukus tapi akak bakar je...agak2 dalam 30min. Ok ..lembut dan sedap. 




Kek Gulung
Sumber resepi : Kak Wan ~ Blog Citarasawan
Dikongsi Oleh: Kak Nita 

Bahan2nya
5 biji kuning telur
3 biji putih telur
75g gula
1 sd teh ovellet
65g tepung gandum
1sb susu cair
1sb minyak jagung
1/4 sd teh garam
1/2 sd teh oren emulco + perasa oren -kak nita tak letak
1/2 sd teh coklat emulco.

Cara2nya
1. Pukul telur,gula ,garam dan ovellet hingga kembang dan pekat .
2. Masukkan susu cair dan tepung. Putar lg.
3. Masukkan minyak jagung dan kacau sebati.
4. Ambil 4 sd besar + coklat emulco.
5. Sapukan dulang pembakar dgn mentega. Letakkan kertas .
6.Tuang dan ratakan adunan asli kedalam dulang .
7. Letakkan adunan coklat  lorekkan sesuka hati..
8. Kukus -akak bakar dalam 20 min. Cucuk dgn lidi ..sekiranya tak melekat -kek dah masak
9. Keluarkan/terbalikkan kek dan sapukan jem strawberry / krim , ratakan dan gulung. Akak buat masa
    panas2.

 
Sebelum dibako....

Sebelum di"ngap"....



Selamat Mencuba...

Israk & Mikraj

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sempena Hari Israk & Mikraj ni ramai kawan2 yg berada diutara bercuti , dan tak kurang pula yg cutinya dibawa ke hari esok. Apa2 pon company yg akak bekerja tu  tak amik cuti ni sbg public holiday.

Sementara dok rehat2 tu marilah bersama2 membaca , merenung kisah & peristiwa Israk & Mikraj yg dikongsikan oleh saudara Mohd Faisal :
“MAHA suci Allah yang telah menjalankan hambaNYA ( Nabi Muhammad saw ) pada suatu malam hari, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha, yang telah Kami berkati sekelilingnya, kerana hendak Kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha melihat” ( maksud ayat 1, surah al-Isra’).
Allah swt. telah mengisrakkan Nabi Muhammad saw. dari Masjid Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin yang sangat jauh itu. Pada zaman dahulu, adalah menjadi perkara biasa orang berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat atau pun menunggang kuda, keldai, unta dan sebagainya.
Sekiranya mengikut jalan biasa, perjalanan dari Makkah ke Palestin mengambil masa lebih kurang 40 hari. Ia merupakan satu perjalanan yang jauh tetapi dengan kekuasaan Allah swt. perjalanan yang jauh itu dapat dilakukan dalam masa yang singkat yakni beberapa jam sahaja. Bagi mereka, perjalanan yang jauh itu jika dilakukan dalam tempoh beberapa jam sahaja merupakan satu perkara yang sangat mustahil dan tidak dapat diterima oleh akal mereka.
Bagi mereka, kenderaan seperti kuda, keldai, dan unta yang mereka tunggangi setiap hari tidak mungkin dapat melakukannya. Pada zaman yang serba maju sekarang, perkara tersebut bukanlah pula menjadi satu perkara yang pelik kerana sudah ada kenderaan laju seperti keretapi laju, jet, dan kapal terbang.
Sebab itulah, mereka yang tidak beriman seperti Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya menggunakan peristiwa tersebut untuk menjatuhkan Rasulullah saw. dengan menuduh Rasulullah saw. sebagai pendusta .
Namun demikian, mereka yang beriman dapat menerima kerana peristiwa tersebut merupakan salah satu daripada kekuasaan Allah swt yang telah pernah diberikannya kepada nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu. Contohnya nabi Isa a.s. yang dilahirkan tidak mempunyai ayah malah beliau dapat berkata-kata semasa bayi, dapat pula menyembuhkan orang sakit, dapat menghidupkan orang yang telah mati, dan sebagainya.
Begitu juga dengan nabi Musa a.s. dengan tongkat yang Allah swt. berikan kuasa telah menjelma menjadi ular yang besar sehingga menelan semua ular ahli sihir raja Firaun. Malah, nabi Musa dapat membelah lautan untuk pengikutnya menyelamatkan diri daripada bala tentera Firaun. Banyak lagi tanda-tanda kekuasaan dari Allah swt yang telah diberikan kepada para rasul yang disebut sebagai mukjizat, dan kepada hambaNYA yang soleh yang dikenali sebagai karamah.
Dalam perjalanan Israk dan Mikraj itu, nabi Muhammad saw. telah ditunjukkan berbagai contoh teladan yang berguna untuk umat manusia.Antaranya, telah ditunjukkan seorang tua yang tidak henti-henti menambahkan beban yang sedang dipikulnya walaupun dia sudah tidak mampu untuk membawanya. Kisah ini merujuk kepada seseorang yang memegang terlalu banyak pekerjaan yang menjadi tanggungjawabnya tetapi tidak ada satu pun yang ditunaikannya dengan baik. Sepatutnya seseorang itu hanya menerima tugas yang dia sanggup menyelesaikannya dengan baik sahaja, bukannya bersifat tamak atau ingin menunjuk-nunjuk untuk menjadi lebih popular.
Rasulullah saw. juga ditunjukkan seorang lelaki yang suka makan makanan yang telah tercemar, berbau busuk, sedangkan di sampingnya terdapat makanan yang bersih dan baik. Peristiwa ini digambarkan kepada seseorang lelaki yang suka berzina, isterinya sendiri tidak dipedulikannya malah menjadi kesukaannya untuk melanggani pelacur, sehingga akhirnya dia mengidap pelbagai penyakit seperti AIDS, siflis, dan pelbagai penyakit kelamin lagi sehingga menghancurkan institusi kekeluargaan.
Hasil daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang terbesar sekali ialah menerima tugas dan perintah dari Allah swt. untuk menunaikan ibadah Solat. Ibadah-ibadah yang lain seperti puasa, berzakat, menunaikan haji dan sebagainya disampaikan melalui wahyu yang diturunkan Allah swt. Sebaliknya, ibadah solat diterima langsung daripada Allah swt. Ini menunjukkan keistimewaan solat. Tidak ada alasan untuk kita meninggalkan solat. Jika kita sakit tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan duduk. Jika tidak dapat duduk maka diberi lagi kelonggaran secara berbaring, malah jika baring pun menghadapi masalah maka dibenarkan untuk melakukan dengan isyarat sahaja. Daripada aspek lain, jika air tidak ada maka dibolehkan berwuduk dengan bertayammum sahaja. Pendek kata, ibadah solat hendaklah ditunaikan walau dalam keadaan apa sekali pun dan di mana pun kita berada, kecuali timbul sesuatu halangan yang memang ditakdirkan oleh Allah swt. seperti tidak siuman, pengsan, tidak sedarkan diri, gila dan seumpamanya.
Dinyatakan bahawa sebelum menunaikan solat hendaklah kita membersihkan diri daripada najis dan mengambil air sembahyang, membersihkan tempat bersujud, dan mendirikan solat sepenuh hati dengan memberikan tumpuan seluruh jiwa dan raga kita hanya kepada Allah swt. Insyaallah, dengan amalan bersolat akan mendidik diri kita menjadi bersih, berdisiplin, dan menyihatkan rohani dan jasmani kita.
Ustaz Syed Hasan Alatas
Disusun semula oleh: Al-Azharii Al-Siddiq Hj. Kamuri, BTN, JPM
http://www.shiar-islam.com

   

Wednesday, June 13, 2012

Makaroni Keju Bakar

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera....

Apa khabar semua ? Diharap sihatlah semuanya...akak ok aje tapi anak akak (Irfan ) pula yg demam , so terpaksa bercuti separuh hari ni sbb ngantuk sangat ..Semalam suhu badannya tinggi sangat..lepas bagi ubat ok ...tapi bila tengah malam panas balik...sampai takut nak tidor balik. Hari ni pening2 lalat ler... 

Bila ditanya nak makan apa? Dia cakap tak lalu makan ...tapi lapar.Tak lama pastu  dia request nak makan Makaroni Keju Bakar yg macam dlm Majalah Kuntum ni... Ok lah..lg pon dah lama akak tak buat ni.Selalunya akak buat versi dewasa~ pedas sikit tapi  kali ni buat versi kanak2 la pulakkk...Sedap dimakan panas-panas.Muka demam yg monyokk tu terus ceriaaa....sekali ngan  adik2  pulunnn...






Yg akak buat ni main campak jer....tak ikut resepi pon tapi ikut rasa. Yg mana bahan2 utamanya Makaroni, Mushroom Soup Maggi, isi ayam yang didadu,sosej, sedikit susu segar, telur , garam ,lada sulah , slice cheddar cheese, carrot, brokoli,sedikit butter ,bawang besar & bawang putih.




Khasiatnya
Info : Majalah Kuntum  

  • Jumlah Karbohidrat Tinggi
  • Kaya dengan Kalsium : cheese ~ yg mana bagus utk pertumbuhan gigi dan tulang.


Sunday, June 10, 2012

Kek Lapis lagi.....

Assalamualiakum  dan Salam Sejahtera....



Hari ni akak pasti semuanya sibuk menyiapkan kelengkapan anak2 kembali ke  sekolah kannn...? Especially anak2 yg dok asrama.... nak siapkan  kain baju, nak hantaq  balik dan macam2 lg lah....
Samalah ngan akak nih...masak pon yg simple2 jer hari ni sebab banyak lg task lain yg menunggu . So terpaksa buat ikut priority. Dok pulun buat dr lepas subuh tadi sampai sekarang baru leh rehat sambil update blog. Ni pon salah cara akak  untuk rehat dan tenangkan minda...

Kek lapis yg kat atas tu ,akak buat minggu lepas. Bahannya sama jer dgn kek lapis yg akak buat sebelum ni, cuma akak gantikan biskut kat tengah tu dgn biskut coco puff  untuk dapatkan line putih dan koko kat tengah tu... kalu masih ingat resepinya akak pernah post kat sini.Oleh kerana akak lapiskan dgn biskut coco puff ,maka ia diberi nama Kek Lapis Coco Puff....boleh gituuu....?.
Kalu nak tau macamana rupa biskut coco puff tu ,sila click sini ya...






Saturday, June 9, 2012

Bread & Butter Pudding

Assalamualaikum dan Selamat Pagi semua....




Alhamdulillah !!! Masih dapat bangun dan bersarapan dgn family lagi hari ni...Esok hari terakhir cuti sekolah. Akan bermula balik lah segala kesibukkan dan "kebusyyyan" ibu2 dan bapak2 sekalian. apa2 pon jom kita breakfast dulu ya...
Hari ni tak tau nak masak apa...ghosek pi , ghosek mai dok nampak roti , roti , roti....Semalam dah makan burger...so, hari ni buat bread & butter pudding lah...Lagipon dah lama tak buat.Pudding selalunya digandingkan dgn kuah custard tapi akak tak rajin la pulak nak buat kuahnya, jadi akak hidang macam tu jer.
Terima kasih pada  izahdaut dan hana sebab share resepi ni.
Akak dah banyak kali buat . Bagi akak pudding ni sedap dimakan terus  masa tengah panas-panas lg.....dihidangkan pula dgn teh o  kurang manis... mmm kira okkkkk lahhhh..


Bread & Butter Pudding
Sumber : Hana's Family , izahmuffinlover 
Dikongsi Oleh : Kak Nita ~jomknitamasak.blogspot.com

Bahan-bahan
8 keping Roti
* 500 ml Susu segar -kak nita letak susu cair
* 4 sudu besar Gula halus (kak nita letak 3 sd besar)
* 2 sudu besar Butter- cairkan
* 2 biji Telur
* 1 sudu teh Esen vanilla
* 1 sudu besar Tepung Jagung
* 1 sudu kecil serbuk cinnamon
2 sudu besar Kismis
sedikit badam hiris (kak nita tambah)

Cara-cara
Koyakkan roti dan susun dalam loyang yang telah digris dengan sedikit butter.
Gaul rata bahan-bahan bertanda * dan tuang ke atas roti tadi.
Biarkan sebentar dalam 20-30min agar roti terendam sepenuhnya.
Taburkan kismis diatas adunan.
Bakar pada suhu 180 C selama 30 minit atau sehingga masak




Monday, June 4, 2012

Mee Rebus Pantai Merdeka

Assalamualaikum dan salam sejahtera..


Pagi tadi masa dok jenguk2 kat FB Blogger Masakan ,akak nampak Mee Rebus Singapura ~ En Joha Hasan....alahaiiii terliuq sungguh ..apalagi terus pi cari bahan2 dan buat ...tapi yg ni versi Pantai Merdeka , Malaya no....Anyway , thanks En Joha sebab Mee Rebus Singapura tu lahhhh akak telah tergerak hati, kaki dan tangan utk masak menu ni hari ni... hahaha...

Resepi ni saya dapat dr Kak Za (kakak ipar)...yg mana dia pon dapat dr mak mentua saya . Mak mertua saya tinggal di Pantai Merdeka . So, saya pon letak mee Rebus Pantai merdeka....wahhhhh suka hati akakkk lah...akak yg buat...boleh gituuuu? Apa2 pon mak mertua , kak za, mak dan kakak saya sendiri  sentiasa menjadi org yg dirujuk dlm masak-memasak2 nih....  
Bagi sesapa ingin mencuba sila rujuk resepi dibawah ye.....insyaallah jadi aihhh.



Mee Rebus Pantai Merdeka
Sumber resepi : Kak Za dan Mak Mertua (Pn Amnah)
Dikongsi oleh : Kak Nita ~jomknitamasak.blogspot.com

Bahan2nya

Bahan A ( dikisar)
1 sd teh lada hitam
2 biji bwg besar
5 ulas bawang putih 
segenggam cili kering direbus dan dibuang bijinya
3 sd teh jintan manis-digoreng tanpa minyak
2 sd besar kacang tanah goreng 
1 biji tomato segar


Bahan B (ubi dikisar bersama bijan, isi udang sahaja-kulit udang dibuang yer.... ) 
600gm ubi keledek~ direbus
250 gram udang segar - dikupas ,dicuci dan direbus bersama kulitnya
2 sd besar bijan - digoreng tanpa minyak

Bahan C 
500 gram daging lembu segar
1 senduk /1/2 cawan sos cili
Garam,gula ,kiub ayam /serbuk perasa secukup rasa.

Bahan D (dicelur)
2 bungkus Mee Kuning 


Hiasan
Daun Sup,Daun Bawang
Cili besar
Tauhu Goreng
Telur Rebus
Bawang Goreng 
Limau Nipis/kasturi
Udang
hirisan daging
Taugeh dicelur
  
Cara2nya
1. Tumiskan Kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang ,masukkan bahan A. 
2. Kacau sampai  terbit minyak , dan wangi.
3.Masukkan daging segar- tak perlu dihiris lg dan sos cili.
4.Kacau sebati.Masukkan bahan B,air, gula ,garam serbuk perasa  secukupnya .
5.Biarkan mendidih dan pekat.  Bila nak makan masukkan udang segar dan didihkan sekejap. 
6. Siap dan boleh dihidangkan bersama bahan hiasan. 
* kuantiti air ~ikut kepekatan yg kita suka.


Kuah Rojak

Assalamualaikum & Salam Sejahtera...

Semalam akak teringin sangat nak menyicah/makan colek/makan rojak buah tapi malas nak pi beli.. Stok buah-buahan banyak kat peti ais. Ada mempelam putik yg kakak bawa dari kg, sengkuang , timun ... seronok menyicah reramai ni....anak2 akak pon suka. So,akak pon buatlah kuah rojak. dapat lah satu bekas kecik....Kuah rojak ni tahan lama boleh simpan kat peti ais ..kalu nak makan amik aje...
Resepinya senang ,sesiapa pon boleh buat..




Kuah Rojak
Sumber : Kak Nita ~jomknitamasak.blogspot.com 

Bahan2nya ( dpt menghasilkan 600ml kuah)
1 cwn gula perang
2 sd besar gula putih
1 cwn cili kisar ( 7 biji cili kering yg direndam,buang biji ) - boleh letak lebih jika suka pedas
1 cwn sos cili
1/2 cawan kicap lemak manis
2 ketul  belacan sebesar ibu jari ( dikisar bersama cili ya...) 
1sd teh penuh petis/otak udang (jika suka)
3 1/2 cawan air
3 sd teh tepung jagung
Garam secukup rasa

Hiasan 
Kacang tanah yg digoreng dan ditumbuk kasar.

Cara2nya
  1. Masukkan semuanya bahan kedlm periuk kecuali tepung jagung dan garam .
  2. Renehkan selama 45min dgn api yg sederhana ,dikacau sekali -sekala. 
  3. Masukkan garam dan tepung jagung yg telah dicampurkan sedikit air . 
  4. Kacau sampai pekat.
  5. Sejukkan dan taburkan kacang dan hidangkan dgn buah- buahan kegemaran anda....
  6. Selamat mencuba!!!.



Alhamdulillah !Inilah hasilnya = 600ml.